Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
BERNAMA

Rawang: Tiada peraturan yang menghalang pencalonan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Hasnal Rezua Merican Habib Merican bagi mewakili Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah menyemak perkara berkenaan dengan peguam berhubung pencalonan Hasnal Rezua Merican.

"Tidak ada satu pun peraturan yang menghalang (pencalonan itu) dan saya sudah rujuk dengan peguam-peguam kita," katanya pada program ceramah kempen PRN Dun Kuang di Bandar Tasik Puteri di sini, malam ini.

Hasnal Rezua Merican dicalon untuk mewakili BN bagi merebut kerusi Dun Kuang berhadapan dengan penyandang kerusi itu, Sallehudin Amiruddin (Bebas) dan Mohd Rafiq Abdullah (PN-Bersatu).

Ahmad Zahid berkata sebagai produk yang dilahirkan oleh Suhakam selain Hasnal Rezua Merican sendiri adalah seorang pengamal undang-undang dan beliau berpendapat tokoh sebeginilah yang harus disokong bukan sahaja oleh pengundi Dun Kuang, tetapi juga harus didokong oleh badan profesional berkenaan.

Namun katanya, mengikut etikanya lebih sesuai Hasnal Rezua Merican untuk mengundur diri daripada Suhakam bagi menumpukan perkhidmatan beliau kepada penduduk di Kuang.

Mengenai prestasi kempen parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan di enam negeri yang terbabit dengan PRN, Ahmad Zahid berkata beliau masih belum berpuas hati.

"Tempoh berkempen hingga 8 Ogos iaitu untuk pengundi awal dan daripada 8 Ogos hingga 12 Ogos, tempohnya adalah singkat tapi kita yakin kalau kita berpuas hati dari sekarang maka kita tidak akan bekerja," katanya.

PRN di Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, dengan pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 8:01 AM