SAIFUDDIN Nasution beramah mesra dengan Suphanit selepas menyampaikan Sijil Warganegara kepada abangnya Khatanak, 19, (dua, kanan) pada majlis penyerahan replika cek berjumlah RM120 ribu sumbangan Menteri Dalam Negeri bagi pembelian van jenazah kepada Masjid Ar-Raudhah Sungai Durian. FOTO BERNAMA
SAIFUDDIN Nasution beramah mesra dengan Suphanit selepas menyampaikan Sijil Warganegara kepada abangnya Khatanak, 19, (dua, kanan) pada majlis penyerahan replika cek berjumlah RM120 ribu sumbangan Menteri Dalam Negeri bagi pembelian van jenazah kepada Masjid Ar-Raudhah Sungai Durian. FOTO BERNAMA
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menepis dakwaan bahawa kementeriannya sedang memproses permohonan kerakyatan secara besar-besaran terutama membabitkan warga China.

Katanya, dakwaan itu dilontar pihak tertentu tanpa rasa tanggungjawab sehingga mempengaruhi pemikiran rakyat dan memberi perspektif yang buruk kepada Kerajaan Perpaduan.

"Isu kewarganegaraan ini isu yang sangat sensitif, tapi saya menepis sama sekali tohmahan yang menyebut bahawa ini proses pemberian warganegara besar-besaran kepada warga asing terutama dari China.

"Tohmahan yang begitu dahsyat tanpa rasa tanggungjawab. Jadi beri kami ruang untuk menyelesaikan isu masa depan anak-anak keluarga Malaysia yang proses pendaftaran perkahwinan itu tidak dibuat secara teratur dan sekarang ini bermasalah.

"Masalah ini banyak bilangannya, kami nak membantu perkara ini," katanya selepas menyampaikan sumbangan bagi pembelian van jenazah kepada Masjid Ar-Raudhah, Sungai Durian Pokok Sena, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Saifuddin Nasution turut menyampaikan surat kelulusan permohonan kewarganegaraan kepada seorang penerima, Khathanak, 19, yang sebelum ini tidak mempunyai kad pengenalan sejak lahir.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, terdapat lebih 140,000 permohonan kewarganegaraan yang diterima dengan 9,000 daripadanya sudah diproses, termasuk yang diluluskan.

Bagaimanapun katanya, data pemberian kewarganegaraan yang diputar belit memberi kesan kepada pemikiran rakyat terhadap usaha KDN menyelesaikan masalah mereka yang tiada pengenalan diri disebabkan kelewatan pendaftaran perkahwinan ibu bapa.

"Puncanya pelbagai, kadang-kadang ibu bapa gagal untuk segera membuat pendaftaran perkahwinan, sedangkan dalam kes kewarganegaraan, prasyarat penting ialah sijil perkahwinan.

"Apabila ada kekurangan, lama kelamaan masalah timbul kepada anak yang dilahirkan. Bila mereka (ibu bapa) cuba betulkan, mereka buat permohonan... mengambil pula masa yang lama.

"Macam dalam kes ini... 19 tahun, 20 tahun pun ada. Jadi itulah yang saya sebutkan bahawa maksud memberi, mempermudahkan kelulusan kewarganegaraan adalah untuk kes macam ini... ibu bapa orang Malaysia, anak lahir di sini," katanya.

Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dilapor menafikan dakwaan kira-kira 54,000 warga China sedang dalam proses diberikan kerakyatan Malaysia kononnya untuk menjadi pengundi DAP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 1:42 PM