Bazlan Abd Rahman
Bazlan Abd Rahman
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Walaupun tiada seorang wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak berdiam diri sekiranya pentadbiran kerajaan negeri bersikap pilih bulu terhadap rakyat.

Penolong Setiausaha Umno Terengganu Bazlan Abd Rahman berkata, pihaknya akan bersama rakyat menjadi 'pembangkang' di luar dewan rakyat dengan menyuarakan pandangan dan kritikan jika ada perkara tidak betul.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu melihat ada rakyat disisihkan kerajaan negeri dan memastikan semua lapisan mendapat manfaat dari segi bantuan yang diberikan.

"Rakyat sudah buat keputusan dan kita beri peluang kepada parti yang membentuk kerajaan Terengganu untuk mentadbir negeri.

"Tugas kerajaan sekarang ini hendaklah mengutamakan semua rakyat dan tidak memilih bulu dalam soal pembahagian bantuan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ditanya mengenai lantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di DUN Terengganu, bekas Adun Batu Rakit itu berkata, tidak ada keperluan sebaliknya biarlah kerajaan Pas mentabdir dan mengurus dengan cara mereka.

"Sejauh mana mereka mendengar pandangan kita dan selama ini pun kita ada dalam dewan, mereka buat cara dia juga.

"Jadi sekarang, kita akan jadi pembangkang luar dewan dan mereka juga boleh dapatkan pandangan dan kritikan menerusi pungutan suara rakyat," katanya.

Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir kerajaan Terengganu bercadang mewujudkan kumpulan 'pembangkang' yang bukan macam Umno di Dewan Undangan Negeri (DUN), kata seorang exco kerajaan negeri itu.

Menurut laporan FMT yang memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Terengganu Datuk Razali Idris berkata, ketika ini parti pemerintah sedang mempertimbangkan untuk melantik empat Adun lantikan dalam kalangan profesional, golongan minoriti bukan Islam, orang kurang upaya (OKU) dan badan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai bidang.

Perkembangan berkenaan menyusul selepas tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu yang menyaksikan PN menyapu bersih semua 32 kerusi DUN.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini berkata, undang-undang tubuh kerajaan Terengganu membolehkan kerajaan negeri melantik Adun sekiranya ada kelompok tertentu tidak ada perwakilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 3:09 PM