GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengawalkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 disifatkan satu langkah baik bagi memberi kemudahan pelajar melanjutkan pengajian selepas itu.

Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, keputusan itu berkemungkinan dibuat kajian oleh KPM agar tidak timbul masalah mengenainya.

Beliau turut percaya tindakan itu mempunyai kaitan dengan bahagian lain terutamanya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), swasta atau luar negara.

"Misalnya (kemasukan ke) institusi pengajian tinggi awam (IPTA). (Kemasukan) IPTA biasanya bermula pada Mei. Bila peperiksaan dibuat Disember, keputusan bukan dapat pada masa itu juga.

"(Mungkin) akan dapat tiga, empat bulan selepas itu. Pelajar pula kena memohon melanjutkan pengajian. Pihak UPU atau institusi lain perlu memprosesnya bagi membolehkan masuk ke universiti (dijangka) pada Mei atau Jun.

"Demikian juga di luar negara yang ada masa tertentu untuk masuk (universiti)," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, dilaporkan peperiksaan SPM 2023 akan bermula pada 5 Disember tahun ini hingga 7 Mac 2024.

KPM menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan Ujian Amali Sains dijadual pada 5 hingga 7 Disember diikuti Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 8 hingga 11 Januari manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 17 hingga 23 Januari, tahun depan.

Ia diikuti Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 29 Januari seterusnya Ujian Bertulis dijadual pada 30 Januari hingga 7 Mac.

Mengulas lanjut, Alimuddin turut melihat pelajar juga mempunyai cukup masa untuk mengulang kaji pelajaran sebelum tibanya musim peperiksaan bermula 5 Disember itu.

"Saya rasa cukup, dengan adanya kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta guru kita juga terlatih. Pelajar pun bukannya belajar sekarang ini, mereka telah belajar sejak Tingkatan 4.

"Jadi janganlah kita anggap mereka itu terkejut nak menghadapi peperiksaan. Sebenarnya ia adalah proses dan telah berjalan dengan begitu lama.

"Kalau sudah ditetapkan masa, saya yakin pelajar sudah bersedia terutamanya guru juga sudah menyedari atau faham tentang perubahan masa peperiksaan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 2:58 PM