Bacaan kualiti udara dikawasan sekitar kilang yang berlaku kebocoran bahan kimia jenis 'Styrene Monomer', di Jalan Pekeliling di sini sejak semalam, berada pada paras normal. FOTO IHSAN BOMBA
Bacaan kualiti udara dikawasan sekitar kilang yang berlaku kebocoran bahan kimia jenis 'Styrene Monomer', di Jalan Pekeliling di sini sejak semalam, berada pada paras normal. FOTO IHSAN BOMBA
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Bacaan kualiti udara di kawasan sekitar kilang yang berlaku kebocoran bahan kimia Styrene Monomer di Jalan Pekeliling di sini, sejak semalam, berada pada paras normal.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Sarhan Akmal Mohamad berkata, kerja-kerja 'cooling' diteruskan bagi mengawal suhu tindak balas kimia bahan yang terdapat di dalam tangki.

Katanya, hasil pemantauan dan pengumpulan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tiada mangsa yang terbabit serta mengalami gejala kesan daripada kebocoran gas.

"Pemeriksaan mendapati kawasan sekeliling selamat dan lokaliti hanya berada di kawasan tangki yang mengalami kebocoran.

"Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menggunakan gasmet serta proses pemantauan suhu dibuat secara berkala iaitu dua jam bagi IPU dan 15 minit bagi pengambilan suhu.

"Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor turut menempatkan alat pengawasan kualiti udara di kawasan persekitaran penduduk berhampiran bagi memantau dan mengambil data kualiti udara," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Sarhan Akmal berkata, setakat jam 12 tengah hari tadi, bacaan kualiti udara yang diperolehi adalah normal.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor turut memaklumkan setakat ini tiada kes dirujuk atau dimasukkan ke hospital atau klinik kerajaan berdekatan.

"Namun JKN Johor meminta orang awam yang mengalami sebarang gejala akibat pencemaran kepada bahan kimia merujuk ke klinik kesihatan terdekat untuk rawatan.

"JBPM Johor menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta memberikan maklumat tidak sahih sehingga menimbulkan kerisauan kepada penduduk setempat dan menggugat ketenteraman awam.

"Operasi ditamatkan pada jam 10 pagi tadi," katanya.

Semalam JBPM mengesan kebocoran bahan kimia jenis Styrene Monomer selepas mendapat maklumat pencemaran bau di kawasan itu pada jam 5.21 petang.

Hasil pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran bahan kimia pada injap saluran bahan kimia yang berada di kilang itu.

Seramai 32 pegawai dan anggota terdiri daripada BBP Pasir Gudang, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM, PDRM, JAS Johor, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 2:49 PM