DUA kakitangan Prasarana mengaku tidak bersalah meminta dan menerima suapan RM60,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. FOTO Ihsan SPRM.
DUA kakitangan Prasarana mengaku tidak bersalah meminta dan menerima suapan RM60,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. FOTO Ihsan SPRM.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Shah Alam: Dua kakitangan Prasarana (M) Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tiga tuduhan meminta dan menerima suapan RM60,000 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan tender kerja-kerja Rapid Rail Sdn Bhd.

Tertuduh, Mohd Taufik @ Azali Mohd Nor, 45, dan Yasdi Mat Yasin, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama meminta dan menerima suapan wang tunai berjumlah RM60,000 daripada Arif Bahat iaitu pengarah syarikat Bulk Engineering Sdn Bhd.

Ia bagi membantu syarikat itu mendapatkan kerja-kerja daripada Rapid Rail Sdn Bhd iaitu 'To Perform Major Maintenance for Automatic Train Wash Plant No 1 at Subang Depot, Kelana Jaya Line' dan 'To Perform Major Maintenance for Automatic Train Wash Plant No 2 at Subang Depot, Kelana Jaya Line'.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tuan Ikhwan Zaudii Nordin, manakala Mohd Taufik diwakili peguam Norizan Yaacub dan Yasdi oleh peguam Muhamad Aizat Fakri.

Terdahulu, Tuan Ikhwan menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh dan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan pasport hendaklah diserahkan kepada mahkamah.

Anita juga memerintahkan Mohd Taufik melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Shah Alam, manakala Yasdi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Kes disebut semula 11 Oktober untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 6:01 PM