Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hadir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mengikuti perkembangan tragedi Jet penumpang yang terhempas di Bandar Elmina berdekatan Lebuhraya Guthrie petang semalam. FOTO ASWADI ALIAS
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hadir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mengikuti perkembangan tragedi Jet penumpang yang terhempas di Bandar Elmina berdekatan Lebuhraya Guthrie petang semalam. FOTO ASWADI ALIAS
Muhammad Yusri Muzamir


Klang: Kerajaan Pahang belum menghantar notis pemakluman kekosongan luar jangka membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pemakluman mengenai kekosongan luar jangka itu akan diberikan kepada Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin sejurus urusan berkaitan penyandang kerusi berkenaan selesai.

Penyandang kerusi DUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun dilaporkan terkorban selepas jet penumpang dinaikinya terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam di sini, kira-kira jam 2.40 petang semalam.

"(Pemakluman kekosongan luar jangka DUN Pelangai) Belum lagi dimaklum kepada SPR. Tunggulah semua (pengurusan jenazah Allahyarham Johari) selesai.

"Setakat ini, belum ada apa-apa perbincangan (berkaitan pilihan raya kecil), tunggulah ini pun tak selesai lagi, masih lagi di peringkat bedah siasat dan pengecaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar-Rahimiah di sini, hari ini.

Johari yang juga EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang dilaporkan terkorban selepas terbabit dalam nahas jet penumpang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam semalam.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pihaknya belum bercadang untuk menamakan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan dilantik sebagai EXCO kerajaan negeri, menggantikan portfolio Johari.

"Saya belum fikir dan bincang lagi (sama ada akan menggantikan dengan ADUN sedia ada atau bakal diberikan kepada pengganti Johari). Tunggulah, bagi selesai satu persatu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 4:16 PM