ADLY (tujuh dari kanan) Tan Sri Affendi (kanan) pada Majlis Perasmian Siber Siaga 2023 di ibu negara. FOTO Aswadi Alias.
ADLY (tujuh dari kanan) Tan Sri Affendi (kanan) pada Majlis Perasmian Siber Siaga 2023 di ibu negara. FOTO Aswadi Alias.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan akan menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dalam merangka struktur baharu Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan yang membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seiring organisasi siber pertahanan lain di seluruh dunia.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, Kertas Putih Pertahanan menggariskan keperluan menubuhkan pasukan khas bagi mengendali ancaman siber.

Beliau berkata, pada zaman teknologi tanpa sempadan yang diterajui bidang seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things dan blockchain kini memberi cabaran kepada negara untuk melindungi maklumat penting.

"Keselamatan negara juga turut terancam. Namun, cabaran itu tidak menghalang kita daripada inovasi sebaliknya seruan untuk mengukuhkan lagi pertahanan.

"Membina langkah keselamatan siber yang mantap dan memupuk budaya kesedaran keselamatan adalah kritikal. Tanpanya, insiden seperti gangguan dan pelanggaran data akan menghakis integriti serta kredibiliti pertahanan negara seterusnya boleh mewujudkan ketidakyakinan di kalangan pelabur dan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Siber Siaga 2023 di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM, Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin.

Mengulas mengenai program itu, Adly berkata, program bertemakan 'Mempertahankan Ruang Siber dan Kedaulatan Negara' itu diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan siber selain meluaskan kerjasama agensi kerajaan, pemain industri, ahli akademik serta komuniti siber.

"Saya berharap platform ini akan menyokong dalam membolehkan kerjasama komprehensif dan inklusif antara sektor malah idealnya menyumbang kepada konsep pertahanan komprehensif, salah satu tonggak strategik Strategi Pertahanan Malaysia.

"Dalam forum hari ini, kita akan mendengar pandangan daripada pakar, pemimpin berwawasan dan pemikir terkemuka yang akan berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 1:07 PM