Kota Bharu: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 selewat-lewatnya dua hari sebelum hari pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan berjumpa dengan wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan SOP yang lebih spesifik pada hari pengundian terutama membabitkan pengundi yang dijangkiti Covid-19.
"Buat masa sekarang, SOP kita kekal yang sedia ada, tapi untuk hari pengundian pasukan dari KKM akan berjumpa dengan SPR untuk SOP yang lebih spesifik terutama mereka yang didapati positif Covid-19.
"Jika seseorang pengundi itu dalam fasa kuarantin atau baru dikesan positif beberapa hari sebelum hari pengundian, kita akan ada SOP yang tertentu.
"(KKM) akan bincangkan dengan SPR bagaimana SOP itu nanti dan harap perkara ini akan diselesaikan segera (dalam) dua atau tiga hari sebelum hari pengundian," katanya.
Terdahulu, Dr Zaliha hadir dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan menyampaikan sijil kepada 1,363 penerima di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
SPR menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos depan, manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini.
PRN 2023 ini membabitkan 36 Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).