PEGAWAI penguat kuasa dan pengarah syarikat yang ditahan rasuah. FOTO Ihsan Sumber
PEGAWAI penguat kuasa dan pengarah syarikat yang ditahan rasuah. FOTO Ihsan Sumber
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan pegawai penguat kuasa dan pengarah urusan syarikat yang bersubahat dengan agensi pekerjaan di negara Bangladesh dan Malaysia bagi meluluskan permohonan visa rakyat negara itu untuk memasuki Malaysia konon untuk melancong mengundang padah apabila ditahan semalam.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki itu kerana disyaki menerima wang rasuah bagi meluluskan permohonan visa oleh warga Bangladesh memasuki Malaysia, kononnya untuk tujuan melancong.

Menurut sumber, siasatan mendapati pegawai penguat kuasa terbabit yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi terbabit dipercayai bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia dengan sengaja menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) membawa masuk rakyat Bangladesh untuk bekerja di Malaysia sejak 2021.

"Hasil siasatan mendapati pegawai terbabit yang melakukan perbuatan itu sejak 2021 dipercayai menerima bayaran sekitar US$300 (RM1,364.32) ke US$500 (RM2,273.87) bagi setiap kelulusan permohonan VLN membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta, meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja.

"Kedua-dua lelaki berusia lewat 30-an itu dipercayai ditahan kira-kira 6.30 petang semalam ketika diminta hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya," katanya.

Sumber berkata, seorang lagi individu yang ditahan ini dipercayai pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja yang bersekongkol dengan pegawai agensi penguat kuasa terbabit.

"Pegawai terbabit adalah pegawai agensi penguat kuasa ketiga yang ditahan untuk membantu siasatan Op Taka yang dilancarkan pada April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Susulan penahanan terbabit, Majistret Mageshwary Muniandy membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin depan selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 2:47 PM