Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra bersama sebahagian anggota tentera dari Batalion Ke-61 Infantri UAELFyang terbabit dalam demonstrasi serangan akhir Eksesais Jungle Falcon Siri 1/2023 hari ini. FOTO Bernama
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra bersama sebahagian anggota tentera dari Batalion Ke-61 Infantri UAELFyang terbabit dalam demonstrasi serangan akhir Eksesais Jungle Falcon Siri 1/2023 hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuantan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyaksikan demonstrasi akhir pada Majlis Penutup Eksesais Jungle Falcon Siri 1/2023 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan United Arab Emirates Land Forces (UAELF) di Felda Sungai Panching Selatan, di sini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Staf Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE) Lt Jen Eisa Saif AlMazrouei dan Duta Besar UAE di Malaysia Khalid Ghanim Al Ghaith.

Seri Paduka ketika bertitah menzahirkan perasaan bangga terhadap kerjasama dan prestasi kedua-dua pasukan pertahanan yang terlibat dengan eksesais itu yang dianggap amat baik sekali.

Baginda bertitah menerusi latihan itu, ia membuka peluang perkongsian ilmu dan kemahiran selain memberi peluang kepada UAELF mendapat pengalaman beroperasi di kawasan iklim tropika.

"Saya harap latihan ini akan beri satu kenangan yang berharga dan boleh dibanggakan atas pelaksanaan yang cukup baik walaupun ia berlaku dalam ladang kelapa sawit, bukan dalam hutan yang biasa kita tempur seperti suatu ketika dahulu.

"Terima kasih kepada 4 Briged (Mekanize), ini kali pertama saya melihat dengan mata sendiri banyak aset dalam 4 Briged (Mekanize) yang tunjuk keupayaan sebenar pada hari ini," titah baginda yang turut berharap hubungan baik antara kedua-dua negara dapat dikekalkan.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut meluangkan masa menyaksikan demonstrasi serangan akhir eksesais berkenaan dan beramah mesra bersama anggota serta pegawai kedua-dua pasukan tentera selain merakam gambar kenangan.

Eksesais Jungle Falcon telah bermula dari 4 hingga 16 Julai di sekitar Kuantan dengan membabitkan atur gerak anggota infantri bersama aset kenderaan berperisai tempur Adnan, Gempita dan kereta kebal Pendekar yang diketuai oleh Panglima 4 Briged (Mekanize) Brig Jen Mohamad Rafi Mohd.

Operasi eksesais dalam iklim tropika itu membabitkan 50 pegawai dan 536 anggota daripada Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Mekanize) serta 19 pegawai dan 116 anggota Batalion Ke-61 Infantri UAELF.

Penutup eksesais disempurnakan oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Ketua Latihan Briged UAELF Brig Jen Mohammed Khamis Mohammed Saif AlHassan.

Eksesais berkenaan ialah satu daripada pendekatan yang berupaya membuka ruang kepada TDM untuk berkongsi kemahiran, pengalaman dan pengetahuan bersama dengan rakan strategik ketenteraan UAELF dalam aspek peperangan secara konvensional.

Sebelum ini, eksesais dua hala antara TDM dengan UAELF iaitu Eksesais Desert Tiger Siri 6/2023 telah dilaksanakan di Al Hamra Combat Training Center, Abu Dhabi pada 8 hingga 27 Feb 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 3:56 PM