Allahyarham Dea Maisarah Bada. FOTO Ihsan FB Dr Zaliha
Allahyarham Dea Maisarah Bada. FOTO Ihsan FB Dr Zaliha
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor mengesahkan menerima dua laporan berhubung kes kematian seorang kanak-kanak perempuan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan polis berkenaan diterima dari pihak hospital dan satu lagi daripada bapa mangsa.

"Siasatan mendapati, mangsa, seorang kanak-kanak warga tempatan berusia 10 tahun dibawa oleh ahli keluarga untuk mendapati rawatan di HTAR dan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

"Kejadian itu juga menjadi tular di media sosial dan mendapati perhatian pelbagai pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, polis sudah memulakan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 Oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

"Siasatan terperinci, menyeluruh, adil dan saksama akan dijalankan terhadap aduan kedua-dua belah pihak iaitu hospital dan penjaga.

"Polis tidak pernah menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan kes ini, dan menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ini.

"Sebarang maklumat kejadian boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau hubungi pegawai penyiasat, Inspektor Natalie Anak Allin di talian 03-55145222 atau 019-6422985," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 8:31 PM