Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Biarpun berdepan ujian berat perlu menjaga anak sulung menghidap Cerebral Palsy (CP) sejak lahir, pasangan suami isteri tetap tabah mengharungi dugaan itu.

Che Rokiyah Che Ja'afar, 27, dan suaminya, Abdullah Che Mat, 37, menjaga Balqiss Batrisya Abd Rahman, 7, bagai menatang minyak yang penuh, malah tidak pernah membezakan kasih sayang dengan seorang lagi anak mereka, Aira Natasha yang berusia tiga tahun empat bulan.

Katanya, kelahiran anak sulung daripada dua beradik mengalami kelewatan dari tempoh jangkaan.

"Bagaimanapun, ketika proses kelahiran, Balqiss Batrisya lemas di dalam kandungan selama 45 minit menyebabkan kegagalan oksigen sampai ke otak dan disahkan menghidap penyakit CP.

"Susulan daripada itu, Balqiss Batrisya terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU)

Hospital Kuala Krai selama dua minggu sebelum dipindahkan ke wad biasa dan dibenarkan pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Batu Jong.

Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi keluarga berkenaan dan turut menyampaikan barangan keperluan asas untuk meringankan beban.

Che Rokiyah berkata, menjaga serta mempunyai seorang anak yang menghidap penyakit saraf cukup untuk menguji ketabahan serta kesabaran berikutan anak istimewa itu memerlukan penjagaan khusus.

"Biarpun Balqiss Batrisya tidak membesar seperti kanak-kanak seusianya dan hanya terlantar, saya dan suami bersyukur kerana diberi kesempatan mencurahkan sepenuh kasih sayang.

"Saya sedar hakikat yang ditakdirkan Allah SWT apabila anak saya hanya mampu berbaring di atas tilam selain tidak boleh bercakap dan hanya menggunakan isyarat mata atau menangis jika dia hendakkan sesuatu.

Ibu kepada dua anak ini berkata, bagi menampung perbelanjaan anak sulungnya itu, setiap bulan dia perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM1,500 untuk membeli keperluan Balqiss Batrisya termasuk lampin pakai buang dan susu formula berharga RM99 setin yang bertahan untuk tempoh tiga hari.

"Balqiss Batrisya hanya bergantung sepenuhnya kepada susu yang diberikan melalui tiub yang dipasang di hidungnya setiap dua jam sekali.

"Setiap bulan 11 tin susu diperlukan. Biarpun mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM250 namun ia tidak mencukupi untuk menampung kos membeli susu setiap bulan, tidak termasuk lagi keperluan lain seperti lampin pakai buang," katanya.

Katanya, suaminya yang bekerja sebagai buruh tidak mempunyai pendapatan tetap selain kerap mengambil cuti disebabkan perlu membawa Balqiss Batrisya menghadiri temujanji berjumpa pakar kanak-kanak selain menjalani rawatan rehabilitasi dan fisioterapi di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 1:12 PM
Che Rokiyah memangku anak sulungnya, Balqiss Batrisya, 7, yang menghidap penyakit saraf, Cerebral Palsy (CP) sejak lahir. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Che Rokiyah memangku anak sulungnya, Balqiss Batrisya, 7, yang menghidap penyakit saraf, Cerebral Palsy (CP) sejak lahir. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI