Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempersembahkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan kepada Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat dalam usaha menyelesaikan isu kewarganegaraan anak bagi wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara.

Beliau berkata, ia bertujuan membolehkan ibu warganegara Malaysia untuk mendapatkan hak seadilnya mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam satu dua hari ini (akan menghadap Majlis Raja-Raja). Undang-undang menyebut hak warganegara hanya kepada bapa, tidak termasuk ibu.

"Jadi kita nak masuk ibu bapa, kerana dalam Perlembagaan, tak adil hanya letak bapa dan tak masuk ibu. Itu sahaja yang nak dikemukakan," katanya kepada media selepas menyampaikan Ucaptama di Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023 di sini, hari ini.

Terdahulu, pada ucaptama itu, beliau berkata, kerajaan akan membentangkan pindaan Artikle 15(A) Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan membabitkan anak warganegara yang dilahirkan di luar negara, September ini.

Menurutnya, pindaan itu dijangka dibentangkan pada persidangan Parlimen pada September.

"Pindaan itu membabitkan, penggantian perkataan 'bapa siapa' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan 'sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapa'.

"Beberapa isu kritikal menyumbang kepada cabaran yang dihadapi oleh orang tanpa kerakyatan di Malaysia.

"Bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia, usaha sedang dijalankan untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan untuk mereka," katanya.

Anwar berkata, kerajaan akan membentangkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk menggantikan perkataan 'bapa siapa' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan 'sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapa'.

Anwar Ibrahim pada International Malaysia Law Conference 2023 di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS.
Anwar Ibrahim pada International Malaysia Law Conference 2023 di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 2:22 PM