GAMBAR fail, Rosmah. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail, Rosmah. FOTO Arkib NSTP
Faris Fuad


Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor, untuk menangguhkan prosiding rayuan bagi mengetepikan sabitan kes rasuah dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta yang dikenakan terhadapnya.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy, membuat keputusan berkenaan.

Ia susulan permohonan pihak pembelaan isteri Datuk Seri Najib Razak itu bagi membolehkan rayuan berhubung pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes berkenaan diputuskan Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu.

Azizah berkata, permohonan itu kali pertama dibuat Rosmah yang bertujuan menangguhkan prosiding rayuan berkenaan sementara menunggu satu lagi proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Memandangkan pihak pendakwaan tiada bantahan berhubung permohonan itu, mahkamah membenarkannya.

"Pengurusan kes seterusnya pada 18 September," katanya.

Terdahulu, peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh, berkata permohonan itu dibuat dengan niat baik tanpa melengahkan prosiding rayuan itu, selain menegaskan rayuan di Mahkamah Persekutuan perlu dilupuskan terlebih dahulu.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai, mengesahkan tidak menerima sebarang arahan untuk membantah permohonan terbabit.

Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu, menetapkan selama empat hari bermula 11 Julai ini untuk mendengar rayuan berkenaan.

Pada 22 Jun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah bagi kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang didakwa tidak sah dan seterusnya menjadikan perbicaraan kesnya turut terbatal.

Pada 1 September tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohamed Zaini Mazlan, mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 71, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Rosmah, hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Beliau juga didenda RM970 juta atau penjara 10 tahun.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 10:47 AM