BERNAMA

Seremban: Satu sesi perjumpaan membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan oleh KDN membabitkan isu kewarganegaraan kepada kanak-kanak terbiar akan diadakan dalam waktu terdekat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada beliau pagi tadi selaku kementerian yang bertanggungjawab menjaga kebajikan golongan itu.

Beliau berkata perbincangan berkenaan terutama Seksyen 1 (e) iaitu bagi kedudukan kanak-kanak terpinggir atau terbuang sangat penting sekali gus dapat memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka.

"Kebetulan saya bercakap dengan Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution) pagi tadi dan beliau amat responsif… saya banyak menerima respons daripada pihak NGO, oleh kerana saya menjaga bahagian kanak-kanak, saya diminta membantu hal ini membabitkan perlindungan kepada mereka terutama Seksyen 1 (e) yang menjadi kegusaran mereka.

"Kita masih ada masa… saya harap ada perkembangan baharu melalui sesi perjumpaan itu. Saya mahukan yang terbaik bagi melindungi kanak-kanak ini, terima kasih kepada menteri KDN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nancy berkata setakat April lalu, terdapat 564 PPDK di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 18,760 orang kurang upaya (OKU) membabitkan 5,144 penyelaras dan petugas.

"Kita yakin kewujudan PPDK di seluruh negara ini akan menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih bersistematik, tersusun dan terancang dalam menjaga pemulihan, keselamatan dan pembangunan OKU," katanya.

Beliau berkata sehingga 31 Mei lalu, sejumlah 654,270 OKU sudah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat tertakluk kepada Akta OKU 2008 (Akta 685) dan dilakukan secara sukarela atas tanggungjawab sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 10:01 PM