Razarudin Husain
Razarudin Husain
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mencipta akaun media sosial TikTok bagi mendekati masyarakat dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Akaun dengan nama pengguna @igrazor itu berkongsi aktiviti dilaksanakan beliau dan PDRM.

Akaun itu kini mula meraih pengikut terdiri dari orang awam dan anggota PDRM.

Razarudin berkata, akaun itu diuruskan oleh Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) bertujuan untuk mendekati masyarakat dan berkongsi aktiviti dilaksanakan.

"Selain itu, ia juga bertujuan menjadi medium untuk anggota PDRM melihat program dilaksanakan pasukan keselamatan itu di serata tempat sekaligus.

"Di dalam pasukan, ada yang tidak berpeluang bertemu saya. Malah ada juga yang tidak pernah sampai ke Bukit Aman. Melalui akaun ini, ia secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada masyarakat dan anggota untuk berhubung dengan saya, "katanya ketika dihubungi tadi.

Mengulas berhubung aduan di platform itu, beliau berkata, orang ramai boleh menyalurkan aduan atau maklumat di platform jabatan yang terkait.

"Jika ingin menyalurkan aduan, pengguna TikTok boleh berbuat demikian dengan menghubungi jabatan yang terbabit selain pelbagai platform jabatan dalam PDRM di laman sosial yang lain," katanya.

Sementara itu, pengguna TikTok dikenali sebagai Iman Ariff memuji tindakan Ketua Polis Negara yang mencipta akaun TikTok berkenaan.

"Tahniah Tan Sri, semoga Allah SWT memberkati usaha yang Tan Sri laksanakan," tulisnya di ruangan komen video yang dimuatnaik.

Pada 23 Jun lalu, Razarudin memulakan tugas rasmi sebagai Ketua Polis Negara.

Pelantikan Razarudin secara kontrak selama dua tahun adalah bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang bersara lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 4:13 PM