AZAM Baki menjawab pertanyaan wakil media selepas merasmikan Hari Integriti 2023. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AZAM Baki menjawab pertanyaan wakil media selepas merasmikan Hari Integriti 2023. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini di peringkat akhir menyelesaikan kertas siasatan berkaitan skandal rasuah isu pengambilan pekerja asing membabitkan pegawai Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh dua minggu.

"Kes sudah di peringkat akhir siasatan. Di peringkat kami apabila sudah selesai dalam tempoh terdekat mungkin dalam tempoh dua minggu," katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Hari Integriti 2023, di Dewan Tun Hussien Onn World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

"Namun, yang penting di sini SPRM tidak melengahkan siasatan kepada mana-mana pihak pun," katanya.

Pada 9 Mei lalu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar mengesahkan bahawa lima pegawainya yang disiasat SPRM sudah ditamatkan kontrak.

Sivakumar dilaporkan berkata, pemecatan lima pegawainya yang terpalit dalam skandal rasuah membabitkan pengambilan pekerja asing itu dilakukan bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain mengenai ada ahli politik menaungi kegiatan judi di negara ini, Azam berkata perkara itu masih dalam siasatan awal.

"Kita sedang menyiasat perkara ini dan laporan baru dibuat dalam bulan lalu. Kita masih lagi mengumpul maklumat.

"Jadi saya tak boleh dedahkan siapa-siapa ahli politik yang berkenaan tetapi saya boleh sahkan siasatan memang sedang dijalankan. Jika terbukti, ia adalah satu kesalahan," katanya.

Ditanya adakah pembabitan itu membabitkan ramai ahli politik, Azam tidak memberikan jumlah inndividu.

"Adalah dalam beberapa kalangan mereka. Tak boleh kata ramai atau tidak. Nanti akan jadi satu spin off dari banyak pihak pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 1:18 PM