Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kerajaan Filipina tidak terbabit dengan tuntutan Kumpulan Sulu terhadap Sabah.

Perdana Menteri berkata, sehingga kini, tiada bukti penglibatan kerajaan Filipina berkenaan perkara itu.

"Saya juga ada perundingan dua kali dengan Presiden (Filipina) Ferdinand 'Bongbong' Marcos Jr dan perkara ini tentu kita singgung tetapi dia tidak melibatkan kerajaan Filipina," katanya dalam sesi penerangan mengenai status terkini tuntutan lapan warga Filipina yang mendakwa waris Sultan Sulu di Dewan Rakyat.

Anwar berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersetuju bahawa tuntutan waris Sulu ada kaitan dengan kerajaan Filipina.

Dalam pada itu, Anwar turut mengulas mengenai soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai kerajaan Filipina yang enggan menggugurkan tuntutan ke atas Sabah dan mewujudkan majlis mereka di negeri itu.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, tuntutan dibuat sejak penubuhan Malaysia 1963 dan kerajaan akan mempertahankan hak Sabah.

"Tuntutan itu sejak penubuhan Malaysia 1963. Kerajaan silih berganti dan semua kerajaan sebelum ini menolak tuntutan itu dan mempertahankan hak Sabah.

"Sama ada dia tubuh pejabat majlis di Kota Kinabalu atau tidak, dia tidak sama sekali mempengaruhi keputusan kita bahawa Sabah itu kawasan negeri mutlak bersama Malaysia," katanya.

ANWAR pada Persidangan Dewan Rakyat. FOTO Bernama
ANWAR pada Persidangan Dewan Rakyat. FOTO Bernama

Sementara itu, Anwar menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu termasuk rakyat Malaysia, jika didapati bersekongkol atau membantu Kumpulan Sulu terhadap Sabah.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap pihak yang membuat tuntutan, penimbang tara, peguam serta pihak-pihak lain yang berkaitan mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.

"Di sini, saya juga ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang yang sedang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan," katanya.

Anwar berkata, kerajaan sentiasa komited dalam bertindak secara proaktif bagi menamatkan isu tuntutan berkenaan, selain memastikan kepentingan Malaysia serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

"Dalam hal ini, kerajaan Malaysia akan terus mara ke hadapan dan berjuang habis-habisan, demi melindungi dan memelihara kepentingan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa," katanya.

Sebelum ini, Malaysia memutuskan mengambil beberapa tindakan perundangan melalui proses mahkamah di Perancis bagi terus mempertahankan kedudukan dan pendirian negara dalam mencabar tuntutan Kumpulan Sulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 4:11 PM