MUHAMMAD Faris Azhar. FOTO Ahmad Ismail
MUHAMMAD Faris Azhar. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: "Tidak semestinya penghafal al-Quran hanya boleh menjadi imam atau penceramah agama sahaja, tanggapan itu perlu diubah," kata Muhammad Faris Azhar, 21 juga tahfiz kini bergelar anggota polis.

Minatnya yang mendalam terhadap pasukan keselamatan itu direalisasikannya dengan mengikuti Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK), Konstabel Lelaki Bilangan 56 Siri 9/2022 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Batu Anam, di sini, selama enam bulan.

Malah, komitmennya yang tinggi menjadikan anak bongsu daripada dua beradik itu turut dilantik menjadi Imam kepada pelatih konstabel di PLAK.

"Tuntutan menjadi anggota keselamatan untuk keharmonian negara lagi besar kerana tidak ramai yang berlatar belakang agama menceburi bidang itu.

"Saya memang minat polis sejak sekolah kerana penampilan yang kemas, segak dan mengutamakan disiplin dalam tugas.

"Sebaik tamat sekolah menengah, saya memohon untuk menyertai PLAK tahun lalu selepas mengetahui banyak kekosongan jawatan konstabel polis," katanya ketika ditemui.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (GERAKAN) Komisioner Datuk Mohd Hishamudin Tahar.

Turut dihadiri Komandan Pulapol Segamat, Superintendan Airy Zaidi Nordin.

Muhammad berkata, dia menjadikan dua bapa saudaranya dan seorang sepupunya yang bertugas sebagai polis di Johor Bahru sebagai inspirasi kejayaannya.

"Keluarga tidak membantah untuk melihat saya memakai pakaian seragam polis suatu hari nanti, sebab itu mereka tidak pernah jemu memberi sokongan.

Sementara itu, ibunya, Dayang Zunarita Ismail, 51, berkata, dia dan suaminya, Azhar Abdullah, 51 sudah menunaikan kemahuan Muhammad Faris untuk bergelar huffaz, yang mana di usia lapan tahun dia dimasukkan ke sekolah tahfiz.

"Mohammad Faris memang minat dengan polis sehinggakan semua urusan mengikuti PLAK, dia uruskan sendiri.

"Dia memang mendapat tawaran sebagai imam masjid, malah pernah bertugas sebagai imam masjid, tetapi kini memilih untuk menjadi polis kerana minat dan tanggungjawab pada negara," katanya yang juga kakitangan swasta berasal dari Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 1:14 AM