AL-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan melawat Kamala. FOTO Ihsan Istana Negara
AL-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan melawat Kamala. FOTO Ihsan Istana Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat melakukan kunjungan mengejut ke atas Kamala Das yang menyambut ulang tahun ke-100 hari kelahiran beliau pada Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka, Isnin lalu.

Turut berkenan berangkat mengiringi Seri Paduka mengunjungi Kamala ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut catatan Facebook Istana Negara hari ini, dalam kunjungan yang bermula pada 11.30 pagi itu, Seri Paduka berdua telah berkenan meluangkan masa selama sejam di rumah Kamala di Taman Utama Ampang, Selangor.

"Selain bertanya khabar dan beramah mesra dengan beliau dan keluarga beliau, Seri Paduka berdua turut berkenan menzahirkan ucapan tahniah dan ucap selamat secara peribadi kepada Puan Kamala Das yang telah menyambut ulang tahun hari kelahiran yang ke-100 beliau yang jatuh pada hari ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Isnin lalu," katanya.

Menurut Istana Negara, Seri Paduka berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan cendera kenangan kepada Kamala, yang juga ibu bekas wartawan sukan Datuk George Das, sempena ulang tahun kelahiran beliau.

Dilahirkan pada 5 Jun 1923 di Tapah, Perak, Kamala memiliki 11 anak, 21 cucu serta 21 cicit dan suami beliau GA Das telah meninggal dunia ketika berusia 62 tahun pada 1972, menurut catatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 8:16 PM