FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited memastikan semua murid perempuan kohort 2021, 2022 dan 2023 menerima vaksin papilomavirus manusia (HPV) sebelum mereka tamat sesi persekolahan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, giliran suntikan bergantung kepada jumlah vaksin yang dapat diperolehi pada tahun 2023.

"Keutamaan pemberian vaksin HPV adalah kepada murid perempuan kohort 2021 yang sedang berada di Tingkatan Tiga terlebih dahulu.

"Apabila keseluruhan kohort ini selesai, vaksin akan mula diberikan kepada murid kohort 2022 dan seterusnya kepada murid kohort 2023.

"Ini bergantung kepada jumlah vaksin yang dapat diperolehi pada tahun 2023," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berkaitan status terkini pelajar perempuan yang terlepas suntikan vaksin HPV pada 2020 hingga 2022.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, seramai 336,592 pelajar perempuan tingkatan satu kohort 2020 hingga 2022 yang masih belum menerima dos vaksin HPV.

Katanya, isu itu timbul apabila KKM tidak dapat membuat perolehan bekalan vaksin HPV pada tahun 2021 berikutan gangguan bekalan vaksin itu di peringkat global.

"Dengan menggunakan baki stok vaksin pada tahun 2020, seramai 34,933 orang (15.7 peratus) pelajar perempuan Tingkatan sSatu kohort 2021 menerima dos satu vaksin HPV serta terdapat 187,151 orang atau 84.3 peratus belum menerima vaksin HPV pada tahun 2021.

"Kemudian pada tahun 2022, harga vaksin HPV di peringkat global meningkat sebanyak enam kali ganda mengakibatkan KKM hanya boleh membuat perolehan sebanyak 100,000 dos vaksin HPV pada Disember 2022.

"Semua vaksin itu sudah diagihkan ke negeri untuk diberikan kepada pelajar perempuan Tingkatan Satu kohort 2021 yang belum menerima vaksin.

"Justeru, bilangan pelajar perempuan Tingkatan Satu kohort 2020 hingga 2022 yang belum menerima sebarang dos vaksin HPV adalah seramai 336,592 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 12:43 PM