GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Mahkamah Tinggi Seremban, hari ini memerintahkan seorang bekas pengawal keselamatan membela diri atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah tiga tahun lalu.

Hakim Datin Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Beliau turut memberi tiga pilihan kepada tertuduh S Sivasangaran, 26, untuk membela diri sama ada secara keterangan bersumpah, keterangan tidak bersumpah atau berdiam diri.

Bagaimanapun tertuduh memilih untuk memberi keterangan bersumpah sebelum mahkamah menetapkan tarikh bagi pendengaran pada 28 hingga 30 Ogos depan.

Tertuduh diwakili peguam Muhammad Syafiq Stewart Abdullah dan Nur Achinta Ezyana Sufian manakala pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ala'udin Baharom.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 413.3 gram di Taman Sri Ramai, Rantau, di sini, pada 19 Februari 2020.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 6 ADB 1952, tertuduh pada tarikh dan lokasi sama didapati memiliki dadah jenis Kanabis seberat 9.03 gram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 2:31 PM