ANTARA ternakan penduduk yang dipercayai diserang harimau belang. FOTO PERHILITAN
ANTARA ternakan penduduk yang dipercayai diserang harimau belang. FOTO PERHILITAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak mengesahkan kemunculan binatang buas dipercayai harimau belang di Kampung Chepor, Lenggong, kelmarin.

Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff berkata, ia berdasarkan kepada penemuan kesan tapak kaki mamalia terbabit selain beberapa bangkai ternakan seperti lembu kepunyaan penduduk kampung yang dipercayai diserang haiwan itu.

"Ia menyerang lembu orang kampung, setakat ini seekor lembu sudah diserang dan kita pun jumpa kesan tapak (kaki) kepunyaannya.

"Berdasarkan tapak kaki yang dijumpai dipercayai hanya ada seekor sahaja harimau itu. Tetapi setakat ini saya tak boleh muktamadkan yang ia memang seekor, kena tunggu hasil kamera dari perangkap yang dipasang," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Katanya lagi, pihaknya kini sudah memasang tiga 'camera trap' (kamera perangkap) bagi memantau pergerakan haiwan itu manakala perangkap akan mula dipasang hari ini.

Menurutnya lagi, buat masa ini pihaknya menasihatkan penduduk kampung untuk tidak bersendirian untuk ke kandang binatang ternakan dan masuk ke hutan bersendirian.

"Selain itu kami nasihatkan penduduk agar jangan ke kebun hingga lewat malam atau terlalu awal ketika masih gelap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 12:16 PM