Zaid Salim


Kuala Terengganu: Seorang abang tidak menyangka mayat bertutup alas putih di tengah Jalan Sultan Mahmud, di sini adalah adiknya yang maut dalam kemalangan.

Dalam kejadian 12.50 tengah malam itu, Muhammad Hairie Fitri Mohd Husaini, 20, dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang berhampiran dengan lokasi kejadian.

Katanya, dia ke hospital untuk melihat ibu bapanya yang masing-masing dirawat di wad kerana kanser usus dan potong kaki akibat kencing manis (bapa).

"Disebabkan jalan ke hospital ditutup sebab ada kemalangan, saya berpatah balik dan melalui jalan di Pantai Batu Buruk. Saya singgah sebentar di rumah rakan sebelum dimaklum adik kemalangan di jalan berkenaan.

"Sebelum itu, ketika sedang bekerja di pusat penjagaan kuda di Lembah Bidong, Setiu, saya menerima panggilan daripada rakan meminta segera pulang tanpa diberitahu kenapa.

"Saya menyangka ia ada kaitan dengan ayah atau ibu, tetapi tidak sangka pula rupanya adik (Muhammad Araf Farhin, 16) yang meninggal dunia dalam kemalangan itu," katanya.

Muhammad Araf Farhin yang juga pelajar Giatmara Hulu Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggang melanggar belakang kenderaan utiliti sukan (SUV).

Anak kedua daripada tiga beradik itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Panji Alam di sini selepas keluar minum bersama beberapa rakan.

Rakannya, Muhammad Rusdi Rashid, 16, yang berada di lokasi ketika kejadian berkata, dia dan arwah keluar bersama rakan lain pada 10 malam dan ketika perjalanan pulang, arwah didakwa mengekori rapat kenderaan berkenaan.

"Arwah gagal elak dan melanggar belakang kanan SUV itu sebelum tercampak, manakala saya yang menunggang motosikal di belakang arwah juga terjatuh selepas terlanggar motosikalnya," katanya yang cedera ringan.

Mayat Muhammad Araf Farhin dihantar ke Jabatan Forensik HSNZ untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 8:40 AM
POLIS melakukan siasatan di lokasi kemalangan yang mengorbankan pelajar GiatMara, Muhammad Araf Farhin.
POLIS melakukan siasatan di lokasi kemalangan yang mengorbankan pelajar GiatMara, Muhammad Araf Farhin.