ZALIHA Mustafa. FOTO arkib NSTP
ZALIHA Mustafa. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dibentang di Parlimen 12 Jun ini untuk bacaan kali pertama, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Sebelum ini, pada 26 Mei lalu, Dr Zaliha menyifatkan perkara itu satu kejayaan buat Kementerian Kesihatan (KKM) apabila mendapat sokongan Kabinet agar RUU itu dibentang.

"Alhamdulillah kita telah selesai sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak dan telah mendapat pelbagai input... saya ulangi bahawa keputusan kita untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 adalah rentetan daripada keputusan yang dibuat oleh Kabinet," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat berkaitan RUU itu kepada media hari ini dan menambah KKM telah memasukkan kesemua 23 cadangan pindaan terdahulu serta lima cadangan baharu.

Dr Zaliha berkata pihaknya telah banyak membuat pindaan dan turut mengambil kira pandangan yang diterima daripada perbahasan serta jawatankuasa pilihan khas Parlimen pada sesi lalu.

"RUU ini adalah RUU yang lebih komprehensif dan meliputi bukan sahaja rokok konvensional tetapi juga rokok alaf baharu termasuk elektronik serta rokok combustible," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata RUU itu masih mengekalkan peruntukan dasar generasi penamat (GEG) manakala perubahannya adalah pada cohort generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

"Peruntukan dasar generasi penamat rokok bakal menyekat masalah merokok terutama dalam kalangan belia iaitu kumpulan produktiviti yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara serta menyelamatkan 2.07 juta nyawa," katanya.

Dr Zaliha juga berkata RUU baharu ini berkonsepkan Win-Win Solution: Navigating Differences through Collaborative Compromise dengan berpandukan dapatan kajian terkini yang akan dibentang dalam Laporan Berkala sebelum 1 Jan 2025.

"Pendekatan ini menunjukkan bahawa kerajaan komited dengan pelaksanaan generasi penamat rokok juga disokong oleh ramai termasuk badan bukan kerajaan, badan profesional serta persatuan ibu dan bapa," katanya.

Beliau berkata isu kelompongan kawalan (lacuna) susulan pengecualian cecair nikotin yang digunakan dalam rokok elektronik atau vape dikecualikan daripada Akta Racun 1952 dapat diatasi dengan kawalan utama dari segi pengiklanan, pembungkusan, kawalan penjualan di sekolah, institut pengajian tinggi awam dan lain-lain.

Katanya semua isu yang dibahas semasa pembentangan RUU terdahulu termasuk semakan kehakiman, pemeriksaan badan serta penguatkuasaan yang meluas telah dipinda seperti syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Menimbang RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022.

Menyentuh langkah mengurangkan denda daripada RM5,000 kepada RM500, Dr Zaliha berkata ia bertujuan untuk tidak membebankan sebaliknya mendidik.

Selain itu, beliau berkata jika kerajaan tidak melaksanakan peruntukan ini, beban kos bagi merawat komplikasi penyakit akan meningkat sebanyak RM 8.77 bilion untuk komplikasi penggunaan rokok konvensional dan RM369 juta untuk komplikasi penggunaan rokok elektronik menjelang tahun 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 11:50 PM