LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Bekas Ketua Staf Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang terbabit dalam misi risikan semasa Op Daulat meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi berkata, Allahyarham Senior Asisten Komisioner (B) Zulkiflli Abd Aziz, 64, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, dekat sini jam 9.40 malam.

Menurut sumber yang juga ahli keluarga, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Durian Sebatang, di sini tengah malam ini.

Zulkiflli memulakan perkhidmatannya di Cawangan Khas sehingga jawatan terakhirnya sebagai Ketua Staf Perisikan ESSCOM dan bersara wajib empat tahun lalu.

Beliau adalah watak penting semasa Op Daulat kerana menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyelinapan pengganas Sulu di Lahad Datu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berkat jasa beliau, pihak polis berjaya mengesan dan menangkap pengganas Sulu dan ada antara mereka yang sudah dijatuhkan hukuman.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan Zulkiflli dimasukkan ke Hospital Teluk Intan sejak 1 Jun lalu selepas ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Sungai Tungku, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 11:15 PM