GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Penjawat awam yang juga ejen hartanah sambilan ditahan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, hari ini selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000, sepanjang dua tahun lalu.

Menurut sumber, suspek wanita berusia 40 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru di sini, kira-kira 5.30 petang ketika dipanggil hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada 2021 hingga 2022, suspek yang bertugas sebagai pegawai penguat kuasa sebuah jabatan meminta dan menerima wang rasuah daripada dua individu sebagai balasan bagi mendapatkan tanah lot bukan Bumiputera bagi sebuah projek perumahan di negeri ini.

"Suspek juga meyakinkan kedua-dua individu terbabit yang dia boleh mendapatkan lot berkenaan dengan menggunakan jawatannya sebagai pegawai penguat kuasa jabatan kerajaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009," katanya.

Dalam kes berasingan, SPRM Cawangan Segamat menahan pembantu tadbir kewangan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana disyaki menggunakan kedudukan dan jawatannya untuk memasukkan tunggakan gaji dan elaun ke akaun gajinya sendiri, tahun lalu.

Difahamkan, suspek wanita berusia 32 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Segamat jam 2 petang selepas hadir memberikan keterangan.

"Suspek sepatutnya tidak layak menerima tunggakan gaji dan elaun itu, tetapi dia menggunakan kedudukan dan jawatannya memasukkan wang berkenaan ke akaun gajinya kira-kira lebih RM1,000 untuk tempoh dua bulan iaitu pada Februari dan April.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009," kata sumber berkenaan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua wanita terbabit.

Bagaimanapun, difahamkan, kedua-dua suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 9:54 PM