TANGKAP layar rakaman video tular
TANGKAP layar rakaman video tular
Rosman Shamsudin


Tapah: Penyelia kilang ditahan selepas dipercayai menunjukkan isyarat lucah dan mengetuk cermin kereta serta memukul kepala pemandu wanita ketika dalam perjalanan dari Cameron Hinglands ke Tapah, di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 24 tahun di Balai Polis Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor pada 10 pagi, hari ini.

Katanya, siasatan pihak polis mendapati kejadian berlaku pada 5.33 petang, semalam ketika wanita itu bersama adik lelaki berusia 17 tahun dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands ke Tapah.

"Kejadian berlaku selepas wanita itu cuba memotong kereta Proton Persona berwarna kelabu yang berada di hadapan tetapi gagal.

"Pemandu kereta terbabit dipercayai menunjukkan isyarat lucah dan turun dari kenderaan ketika trafik agak sesak sebelum mengetuk cermin kereta berdekatan Pusat Peranginan Lata Iskandar.

"Apabila pengadu membuka cermin kereta, suspek dipercayai memarahi, memukul kepala pengadu dan mengeluarkan kata-kata ugutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, hasil semakan nombor kenderaan dinaiki oleh suspekdidaftarkan atas nama seorang wanita beralamat Tanjong Karang, Selangor.

Katanya, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di sekitar Serdang, Selangor, dan dibawa ke IPD Tapah untuk siasatan selanjutnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323/506/509 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 9:29 PM