MAYAT Mohd Faudzi ditemui di kawasan lumpur paya bakau di Kuala Sala. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
MAYAT Mohd Faudzi ditemui di kawasan lumpur paya bakau di Kuala Sala. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Hubungan dua beradik tu sangat rapat, tak sangka mereka pergi pun berdua," kata Mustafa Mat, 62.

Mustafa berkata, dia mengenali Mohd Faudzi Tajuddin, 48, dan adiknya, Mohd Farizan, 41, sejak mereka masih kecil kerana tinggal berhampiran rumah.

Katanya, dia terkejut mendengar berita dua beradik itu hilang selepas bot fiber yang dinaiki mereka dipukul ombak.

"Kali terakhir saya jumpa Mohd Faudzi malam tadi ketika dia datang ke pelantar ikan ini tetapi kami tidak sempat berbual cuma dia senyum saja dan saya pula bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini.

"Mereka dua beradik itu baru saja turun ke laut tidak sampai dua bulan malah dua beradik itu masih kurang mahir selok-belok di laut dan baru membeli bot itu," katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kuala Sala, di sini hari ini.

Mustafa berkata, sebelum ini Mohd Faudzi bekerja sebagai tukang rumah manakala adiknya berniaga di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan baru pulang ke sini untuk tinggal di kampung.

"Saya sempat bertanyakan ibu mereka, dan dimaklumkan mereka keluar sebelum waktu angin (jam 3 pagi), namun ketika kejadian angin sangat kuat.

"Mereka turun ke laut tiga beradik tapi seorang lagi adik mereka sempat balik," katanya.

Mustafa berkata, dua beradik itu sangat rajin bekerja dan sering melakukan kerja amal di kampung.

Mayat pertama, Mohd Farizan ditemui jam 4.20 petang, manakala mayat Mohd Faudzi ditemui jam 5.50 petang pada jarak 30 meter di kawasan paya bakau berlumpur di perairan Kuala Sala.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 9:00 PM