TUN Dr Mahathir Mohamad. FOTO Arkib NSTP
TUN Dr Mahathir Mohamad. FOTO Arkib NSTP
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan beliau cuba mempersoal dan menghina institusi diraja, sebaliknya hanya bercerita berkenaan kisah diraja yang pernah berlaku pada suatu ketika dahulu.

Katanya, menjadi hak beliau untuk bercakap mengenai fakta yang sudah diketahui umum.

"Ada dua kes (isu hina institusi diraja dan proklamasi Melayu)... saya sebut mengenai raja-raja Melayu dahulu, bagaimana institusi berkenaan tidak mempunyai wang, ada kutipan cukai.

"Saya kaitkan apa yang sudah berlaku, semua orang tahu, takkan saya tidak boleh bercakap.

"Semua tahu mengenai penjualan tanah bernilai RM4 bilion dan saya bertemu dengan pihak yang membeli tanah itu. Tanah itu kekal miliknya sampailah akhirat," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, di sini hari ini.

Beberapa hari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah melengkapkan kertas siasatan terhadap Dr Mahathir bersabit kes penghinaan terhadap institusi diraja.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dilapor berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara, Selasa ini selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Noorsiah dipetik berkata, siasatan polis terhadap Dr Mahathir berkait isu proklamasi orang Melayu masih di peringkat siasatan.

Sementara itu, ditanya mengenai penganugerahan darjah kebenaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Lim Kit Siang, Dr Mahathir secara berseloroh berkata, veteran DAP itu adalah veteran DAP, setaraf dengan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Aziz Nik Mat.

"Sumbangan Kit Siang kepada negara tak boleh dilawan oleh mana-mana pihak lain, dia seorang yang setaraf dengan (Allahyarham) Nik Aziz," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 7:27 PM