NIK Nazmi (tengah) bersama Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau (kiri) ketika mendengar penerangan daripada pegawai bertugas semasa membuat lawatan kerja ke kawasan banjir kilat sekitar daerah Klang hari ini. FOTO Bernama.
NIK Nazmi (tengah) bersama Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau (kiri) ketika mendengar penerangan daripada pegawai bertugas semasa membuat lawatan kerja ke kawasan banjir kilat sekitar daerah Klang hari ini. FOTO Bernama.
Norzamira Che Noh


Klang: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menetapkan cadangan penyelesaian jangka masa pendek dan panjang bagi menangani masalah banjir di Pekan Meru dan Bandar Bukit Raja dekat sini, yang dilanda banjir, Ahad lalu.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata cadangan penyelesaian jangka masa pendek adalah dengan meningkatkan kekerapan penyelenggaraan sistem saliran kawasan berkenaan.

"Sementara, penyelesaian jangka panjang adalah dengan pelaksanaan segera Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Enam, Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar," katanya selepas mengadakan lawatan di beberapa lokasi Pekan Meru dan Bandar Bukit Raja, hari ini.

Beliau berkata, kawasan yang terjejas di Pekan Meru antaranya Taman Daya Meru, Taman Daya Maju, Jalan Kasban dan Persiaran Hamzah Alang, manakala kawasan Bukit Raja melibatkan Bandar Baru Bukit Raja dan Mutiara Bukit Raja.

Katanya, berdasarkan laporan, antara 50 hingga 100 rumah terjejas akibat banjir sedalam 0.1 hingga 0.5 meter membabitkan 20 keluarga.

"Kejadian ini disebabkan hujan yang sangat lebat dan berpanjangan melebihi tiga jam dan bertembung dengan air laut pasang.

"Selain itu, faktor sistem saliran dalaman yang tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak dan tidak dapat mengalir ke sungai kerana aras air sungai yang tinggi juga turut menyumbang kepada berlakunya banjir," katanya.

Nik Nazmi berkata, pada hari kejadian, Stesen Telemetri Kampung Perepat, Kapar merekodkan hujan tertinggi sehingga 98.5 milimeter menyebabkan paras air Sungai Binjai, Pekan Meru meningkat sehingga 4.38 meter, melepasi aras bahaya iaitu 4.2 meter pada jam 12 tengah hari pada hari sama.

Bagaimanapun, katanya, air sudah surut sepenuhnya pada 5 petang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 6:07 PM