Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Kerajaan disaran menarik balik darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang dikurniakan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Darjah kebesaran SMN terhad kepada 25 penerima pada satu-satu masa, tidak termasuk warga asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat dengan penyandang akan membawa gelaran Tun, manakala isterinya bergelar Toh Puan.

Gesaan itu dibuat RSN Rayer (PH-Jelutong) selepas mempertimbangkan tindakan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berterusan menyerang dan menghina institusi diraja.

"Kita lihat beliau (Dr Mahathir) melakukan Proklamasi Melayu dan mungkin akan bekerjasama dengan Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang mengkhianati beliau, sebelum ini.

"Kedua-dua mereka ingin menghancurkan negara dan tidak mahu membenarkan Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) melaksanakan tugas menjaga kebajikan rakyat," katanya.

Rayer berkata demikian ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 buat pertama kali di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir pada Oktober 2003, dianugerahkan darjah kebesaran SMN Pangkat Pertama selepas melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, menggantikan Tun Hussein Onn.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Pejuang itu dan isterinya dilapor memulangkan Darjah dan Bintang Kebesaran Sultan Selangor, pada 7 Disember 2017.

Difahamkan Dr Mahathir memulangkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkamah Selangor (SPMS) dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) manakala Dr Siti Hasmah memulangkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan SPMS.

RSN Rayer. FOTO arkib NSTP
RSN Rayer. FOTO arkib NSTP

Dalam pada itu, Rayer merayu agar Dr Mahathir berhenti menghina dan membuat serangan berterusan terhadap institusi diraja.

"Saya minta seperti diucapkan Tambun di Istana Negara semalam (kelmarin), supaya Polis Diraja Malaysia tidak berkompromi dan mengambil tindakan terhadap Tun M (Dr Mahathir) kalau berterusan menyerang kerabat diraja," katanya.

Sementara itu, Rayer meminta Jabatan Audit melakukan audit membabitkan dakwaan dana bernilai RM207 bilion daripada Kerajaan Jepun yang dikatakan diterima Dr Mahathir, sebelum ini.

Dana berkenaan dikatakan pampasan kepada rakyat Malaysia yang terbabit dalam pembinaan landasan kereta api maut Jepun.

"Kalau boleh audit dilakukan tentang laporan RM207 bilion dibayar Kerajaan Jepun kepada Kerajaan Malaysia ketika Tun M menjadi Perdana Menteri, sebagai pampasan kepada keluarga terkesan apabila pembinaan the death railway.

"Ini kerana jumlah berkenaan amat besar. Bolehkah Jabatan Audit dan Tambun mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyiasat perkara ini.

"Adakah jumlah ini diterima ketika era pentadbiran Tun M ketika kali pertama dia menjadi Perdana Menteri? Kalau diterima, apa yang berlaku kepada dana berkenaan?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 5:19 PM