Operasi mencari Hawari diteruskan sehingga Kem Empat.
Operasi mencari Hawari diteruskan sehingga Kem Empat.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest (ME2023) orang kurang upaya pendengaran Muhammad Hawari Hashim yang hilang di pergunungan Everest sejak 19 Mei lalu memasuki hari ketiga, hari ini, dengan menggunakan teknologi dron.

Ketua Misi ME2023 Azim Afif Ishak berkata, operasi SAR dimulakan pada jam 9 pagi waktu Nepal dan radius pencarian dilebarkan sehingga ke Kem Empat kira-kira 8,000 meter dari aras laut.

Menurutnya, operasi SAR yang berjalan dua hari sebelum ini membabitkan kawasan Kem Dua dan Tiga berdepan jalan buntu dan tiada sebarang petunjuk ditemui.

Katanya, pencarian di Kem Empat turut membabitkan kawasan 'zon maut' yang sangat berbahaya serta sukar dimasuki pasukan penyelamat.

"Kita akan teliti dan semak semula gambar dan video yang dirakam di semua kem menggunakan skrin besar supaya ia lebih jelas sekiranya ada menunjukkan sebarang petunjuk," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Operasi SAR Muhammad Hawari kini hanya berbaki dua hari selepas pihak berkuasa Nepal memberi tempoh lima hari untuk mencarinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 4:56 PM