RANI menunjukkan lukisan zaman dahulu.
RANI menunjukkan lukisan zaman dahulu.
Oleh Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Majalah komik tempatan pernah melalui zaman kegemilangan dengan jualan melonjak sehingga ratusan ribu naskhah sekitar 1990-an hingga awal 2000.

Namun lambakan terutama karya diimport dari negara lain selain perkembangan teknologi yang memudahkan orang ramai membaca komik secara percuma menjadi antara penyebab kejatuhan komik tempatan sehingga banyak majalah komik terkubur.

Ada juga peminat komik berpendapat karya tempatan yang majoritinya menumpukan kepada hiburan ringan dan cerita kelakar menjadi antara faktor mempengaruhi peralihan pembaca yang mahukan jalan cerita dan genre yang lebih berkembang dan kompleks.

Mengakui hakikat itu, Pengerusi Persatuan Pekomik Malaysia, Rani Abdullah, 43, berkata, pihaknya dalam usaha memberi nafas baharu kepada karya tempatan antaranya memasukkan elemen budaya dan unsur nusantara pada karya.

"Saya berpendapat kita perlu mencontohi manga yang banyak mempromosikan budaya Jepun, selain tumpuan kepada jalan cerita, menyelitkan elemen kebudayaan tempatan juga salah satu tarikan kepada pembaca," katanya.

Beliau berkata, kemunculan kepelbagaian platform sebenarnya membuka peluang dan manfaat kepada pelukis komik terutama generasi baru untuk mengetengahkan karya masing-masing.

"Banyak platform yang boleh dicuba. Sekarang kita tidak boleh jangka komik mana yang akan 'meletup' tapi yang penting pelukis mesti konsisten. Pelukis komik ini tidak terhad idea mereka contoh pelukis terkenal Datuk Lat. Dia hanya melukis mengenai kehidupan sekelilingnya dan suasana kampung namun ramai orang suka," katanya.

Katanya, persatuan juga bekerjasama dengan pelbagai organisasi untuk mempromosikan karya tempatan antara penganjuran galeri bagi menunjukkan hasil karya pelukis Malaysia.

Rani yang menggunakan nama Wukong berkata, persatuan juga bakal menerbitkan komik hasil karya pelukis baharu dalam usaha meningkatkan kembali komik tempatan.

"Masa depan komik tempatan ada, cuma kita perlu melakukan perubahan dan pembaharuan mengikut zaman," katanya.

NORDIN menunjukkan Gelihati yang pernah popular satu masa dahulu di Malaysia
NORDIN menunjukkan Gelihati yang pernah popular satu masa dahulu di Malaysia

Pelukis, Nordin Misnan, 55, pula berkata, kini banyak komik yang berinspirasikan manhwa (komik Korea) berada di pasaran.

"Memang tidak nafikan komik seperti itu mendapat jualan sangat tinggi terutama penceritaan kisah percintaan yang biasa orang muda beli.

"Bagaimanapun bagi saya setiap lukisan komik itu mempunyai peminat tersendiri. Walaupun komik keluaran saya tidak mendapat jualan seperti mereka, tetapi masih ada pembeli," katanya.

Nordin yang menggunakan nama pena Deen berkata, dia masih menggunakan kaedah manual untuk melukis komik berbanding kebanyakan pelukis generasi baru yang menggunakan kaedah digital.

MOHD Safwan atau lebih dikenali sebagai Pauh bersama hasil karyanya.
MOHD Safwan atau lebih dikenali sebagai Pauh bersama hasil karyanya.

Ilustrasi bukan kosong tapi ada mesej cuba disampaikan

Ada beranggapan komik sekadar bacaan ringan untuk mengisi masa terluang namun hakikatnya bahan bacaan disertakan gambar serta ilustrasi itu bukan kosong kerana terdapat mesej tertentu yang cuba disampaikan pelukisnya.

Pelukis komik, Mohd Safwan Mohd Ariffin, 48, berkata, pada zaman sebelum kemerdekaan komik dijadikan bahan propaganda oleh penjajah untuk meraih sokongan kerana masih ramai penduduk di Tanah Melayu tidak boleh membaca.

"Jadi salah satu cara ialah menyebarkan dasar atau propaganda mereka melalui lukisan.

"Sama ada mahu menghasut rakyat atau mahu memberi tahu kebaikan mereka, penjajah menggunakan komik sebagai salah satu cara mereka menyampaikan maklumat," katanya.

Beliau yang menggunakan nama samaran Pauh dan melukis di akhbar serta beberapa majalah berkata, walaupun zaman sudah berubah namun masih ada komik yang menjadi bahan menyebarkan fahaman tertentu untuk mempengaruhi pembaca.

"Ada juga sesetengah pelukis bekerja di bawah parti politik jadi mereka akan menyalurkan mesej tertentu untuk menunjukkan kelebihan parti politik. Kartun sebegini sangat memberi kesan kepada pembaca dari semua golongan umur.

"Ada juga pelukis bekerja di bawah pusat zakat dan dia menghasilkan komik berkaitan zakat untuk menyedarkan orang ramai mengenai kewajipan membayar zakat," katanya.

Selain itu, Safwan berkata, pekerjaan pelukis kartun bukan hanya melukis komik atau kartun di akhbar, tetapi boleh juga dijadikan bahan promosi produk.

"Apa yang penting pelukis perlu prihatin dengan situasi semasa dan banyak ilmu supaya mesej yang sampai kepada pembaca berkualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 7:00 AM