BERNAMA

Kuala Kangsar: Pesta Laksa Kuale bakal dijadikan acara tahunan kerana ia dilihat mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee.

Beliau berkata pengunjung yang datang ke pesta berkenaan dapat menikmati pelbagai jenis hidangan laksa dari beberapa daerah di Perak serta negeri lain seperti laksa Sarawak.

Katanya ia juga secara tidak langsung dapat merapatkan silaturahim selain mengenali serta memahami pelbagai budaya negeri lain melalui makanan.

"Kita (kerajaan negeri) juga akan berusaha menjadikan Pesta Laksa Kuale ini acara besar-besaran, sekali gus memberi impak kepada pengusaha laksa dalam menjana pendapatan selain merangka padanan rangkaian perniagaan yang bersesuaian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah berkenan menyempurnakan perasmian Pesta Laksa Kuale di Arena Kuala Kangsar di sini hari ini.

Loh berkata pihaknya menjangkakan kira-kira 10,000 pengunjung hadir ke pesta berkenaan yang berlangsung dua hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 9:48 PM
PENIAGA Laksa Kuale Umi Klasum Bakri, 56, menunjukkan laksa dijual di gerainya pada Pesta Laksa Kuale di Arena Kuala Kangsar hari ini. FOTO Bernama.
PENIAGA Laksa Kuale Umi Klasum Bakri, 56, menunjukkan laksa dijual di gerainya pada Pesta Laksa Kuale di Arena Kuala Kangsar hari ini. FOTO Bernama.