DATUK Seri Hajiji Noor. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Hajiji Noor. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan RM320.25 juta kepada Kerajaan Sabah sebagai bantuan untuk menyegerakan pelaksanaan pelan jangka pendek menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu membabitkan pelaksanaan enam program yang merangkumi 20 projek di seluruh negeri.

Katanya, ia termasuk sembilan projek di bawah pelan daerah untuk Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

"Kita mengalu-alukan keputusan segera Perdana Menteri. Pelaksanaan projek ini dijangka mengambil masa antara enam bulan hingga 12 bulan untuk disiapkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengetuai rombongan negeri pada mesyuarat tertinggi membincangkan masalah air Sabah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari ini.

Pada mesyuarat itu, Hajiji turut mengemukakan pelan jangka panjang bekalan air berimpak tinggi yang dirangka kerajaan negeri, termasuk projek empangan di Papar dan Ulu Padas, Sipitang bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk jangka masa panjang.

Bagi tujuan itu, katanya Perdana Menteri meminta supaya satu pasukan petugas khas ditubuhkan yang merangkumi kementerian persekutuan dan negeri bagi mencari pendekatan holistik dan terbaik untuk langkah ke hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 7:00 PM