GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Terengganu: Tasik Kenyir yang terletak di daerah Hulu Terengganu diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan dan bakal dikenali sebagai "Kenyir Geopark".

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata pengiktirafan tersebut diumumkan oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Abdul Wahid Abu Salim di Putrajaya, semalam.

Ariffin berkata pengiktirafan itu adalah antara pencapaian terbaik kerajaan negeri yang telah lama berusaha untuk menjadikan Kenyir sebagai taman geo sepertimana yang terkandung dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030).

"Usaha menjadikan Kenyir sebagai geopark bermula sejak 2015, namun pelbagai halangan terpaksa ditempuhi sebelum mendapat pengiktirafan pada hari ini.

"Mesyuarat NRECC turut menetapkan 2027 sebagai penilaian semula status Kenyir sebagai geopark," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ariffin berkata pengiktirafan itu akan membuka dimensi baharu kepada sektor pelancongan Tasik Kenyir yang sememangnya sudah mendapat tarikan utama dalam kalangan pelancong.

Katanya selain itu ia juga akan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dan penjanaan ekonomi yang akan membangunkan lagi sosioekonomi komuniti setempat.

Kenyir Geopark yang berkeluasan 244,900 hektar merangkumi kawasan Tasik Kenyir, 340 pulau dan 15 geotapak termasuk penemuan fosil kesan tapak kaki dinasour, Batu Kapur Gua Bewah, Penara Gunung Gagau, Tapak Warisan Batu Bersurat dan Gua Taat.

Penemuan penting itu juga telah membuka potensi Gua Bewah sebagai tapak geoarkeologi negara melalui penemuan rangka 'Bewah Man' yang dianggarkan berusia 16,000 tahun dan fosil kerang gergasi, Shikamaia Sp yang dianggarkan berusia 250 juta tahun di sekitar dinding gua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 2:06 PM