FOTO BERNAMA
FOTO BERNAMA
BERNAMA

Port Dickson: Genap dua tahun pemergian ibu bapa akibat Covid-19, empat beradik keluarga itu kini diuji dengan kematian abang sulung mereka pagi tadi akibat kemalangan.

Muhammad Haidir Rodzi, 25, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Jimah Power Plant di sini, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian.

Mangsa meninggalkan seorang isteri iaitu Siti Rahmah Muslim Sidi dan seorang anak perempuan, Nur Layla Mikayla yang berusia tiga bulan.

"Suami saya sempat bermain dengan anak dan mendukung bayi kami pada 7 pagi sebelum pergi kerja, pagi ini lama suami bermain dengan anak, kebiasaannya anak saya akan tidur selepas menyusu.

"Saya mendapat panggilan daripada kawan suami memaklumkan suami kemalangan dan meninggal dunia... kami sekeluarga sangat sedih, saya hilang tempat bergantung," katanya ketika ditemui pemberita di rumah mereka di sini hari ini.

Suri rumah berusia 26 tahun itu berkata Muhammad Haidir seorang yang ceria dan selalu mengingatkan dia serta adik-beradik suaminya supaya sentiasa menjaga antara satu sama lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin pula berkata kemalangan yang berlaku pada 8.20 pagi itu membabitkan lori kren pengangkat dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC.

"Siasatan awal mendapati pemandu lori dan penunggang motosikal bergerak dari arah Lukut menghala ke Jimah Power Plant Bukit Pelandok,

"Semasa lori kren pengangkat membelok ke kanan simpang menuju ke tempat pembinaan, motosikal itu melanggar bahagian belakang sebelah kanannya... akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan dalaman serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muhammad Haidir serta adik-beradiknya Muhammad Hairie, 23, Nurhairieka, 21, Muhammad Haiqiel, 16, dan Muhammad Khierzamani Rodzi, 9, sebelum ini dilaporkan yatim piatu apabila ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Bapa mereka Rodzi Tahar meninggal dunia di Hospital Tampin pada 31 Mei 2021 sebelum disusuli isterinya Nazita Idris ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi Hospital Tuanku Ja'afar pada 6 Jun 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 10:59 PM