Ahmad Ismail

Tangkak: Tourism Malaysia yakin pelancaran kempen pakej Durian Tourism 2023 selama sebulan akan memeriahkan serta mampu mempromosikan musim durian di seluruh negara.

Kempen sehingga 31 Ogos ini mendapat kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta 13 pengendali pelancongan tempatan.

Durian Tourism 2023 menawarkan 18 pakej menarik sebagai pilihan kepada pelancong bermula RM50 seorang untuk buffet durian dan pakej tiga hari dua malam daripada RM1,740 seorang dengan tempahan minimum 15 orang.

Antara aktivitinya seperti mengutip, makan durian dan buah-buahan lain selain menyediakan pelbagai minuman berasaskan halia, membuat tempoyak serta merasa pengalaman tinggal di kampung.

Pakej-pakej yang ditawarkan adalah di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Pahang dan Johor.

Shahrin Mokhtar (tengah) melancarkan kempen pakej Durian Tourism 2023 di Happy Fruit Tangkak, Tangkak di sini, hari ini. FOTO AHMAD ISMAIL
Shahrin Mokhtar (tengah) melancarkan kempen pakej Durian Tourism 2023 di Happy Fruit Tangkak, Tangkak di sini, hari ini. FOTO AHMAD ISMAIL

Bagi edisi kali ini, Tourism Malaysia mengambil inisiatif untuk memasarkan pakej Durian Tourism 2023 di luar negara seperti China, Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Brunei.

Majlis pelancaran kempen itu berlangsung di Happy Fruit Tangkak, di sini dengan perasmian oleh Pengarah Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar yang mewakili Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Shahrin berkata, melalui kempen pakej Durian Tourism 2023 itu akan dapat memperkenalkan lebih banyak destinasi '2nd-tier' yang mampu memberi impak kepada kegiatan ekonomi setempat.

"Menerusi permintaan tinggi terhadap produk pelancongan sebegini, pembangunan infrastruktur diharapkan akan bertambah baik, wujud jaringan perniagaan yang kukuh bukan sahaja dalam kalangan penggiat industri secara khusus malah meliputi pelbagai sektor lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 9:44 PM