Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda
Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda
BERNAMA

Kuala Lumpur: Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), berkuat kuasa 1 Jun 2023, bagi menggantikan Tun Arifin Zakaria yang bersara pada 6 Mei 2023.

Dalam satu kenyataan, PNB berkata Raja Arshad ialah Pengerusi Ekuiti Nasional Bhd, Icon Offshore Bhd dan Bumi Armada Bhd.

Beliau merupakan bekas Pengarah Maxis Bhd dan Khazanah Nasional Bhd.

Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dan Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7.

"Semasa krisis kewangan Asia 1997, Raja Arshad dilantik sebagai Pengerusi Danamodal Nasional Berhad, salah satu daripada tiga syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menguruskan krisis," kata PNB.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Ahmad Zulqarnain Onn berkata lembaga pengarah dan warga PNB mengalu-alukan Raja Arshad ke lembaga pengarah dengan pengalaman luasnya dalam pengawasan syarikat dan institusi.

"Kami menantikan kepimpinan beliau seiring pelaksanaan pelan strategik PNB dan memenuhi mandat kami dalam meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Raja Arshad ialah Felo Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW). Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), berkhidmat dalam majlisnya selama 24 tahun, tiga daripadanya adalah sebagai presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 11:17 AM