Amar Douglas Uggah.
Amar Douglas Uggah.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Penggunaan jet peribadi oleh pemimpin kerajaan Sarawak untuk penerbangan jauh ke luar negara adalah bagi memastikan keselamatan lebih terjamin.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jet peribadi menawarkan beberapa kelebihan berbanding pesawat komersil termasuk fleksibiliti waktu penerbangan.

Justeru katanya, penggunaan jet peribadi adalah pilihan berdaya maju yang menjamin tahap keselamatan dan memberikan keselesaan.

"Keselamatan pemimpin kerajaan negeri serta pegawai tinggi kerajaan adalah amat penting dan kami mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan penerbangan yang selamat terutamanya untuk perjalanan ke luar negara.

"Oleh itu, kami memilih untuk menggunakan jet peribadi demi menjamin tahap keselamatan yang lebih baik," katanya pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, tadi.

Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II berkata demikian sebagai maklum balas kepada dakwaan Violet Yong (DAP-Pending) bahawa lawatan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta rombongan ke London menggunakan jet peribadi mewah Airbus ACJ 319 baru-baru ini.

Violet ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Persidangan DUN Sarawak 17 Mei lalu turut berkata, jet peribadi yang digunakan oleh rombongan pemimpin kerajaan Sarawak itu sama dengan jet peribadi Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Mengenai penetapan jenis pesawat syarikat Hornbill Skyways untuk kegunaan pemimpin negeri, Uggah berkata, ia ditentukan oleh syarikat penerbangan tempatan itu, bukannya oleh kerajaan negeri.

"Hornbill Skyways menetapkan jenis pesawat yang sesuai untuk pemimpin negeri serta pegawai kanan kerajaan bagi penerbangan jarak jauh," katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan Sarawak memeterai kontrak dengan Hornbill Skyways untuk penyediaan perkhidmatan pesawat termasuk untuk kegunaan Yang di-Pertua Negeri, Premier Sarawak, Timbalan Premier Sarawak serta Menteri Kabinet Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 4:15 PM