Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

Jasin: Kerajaan negeri Melaka berhasrat untuk memperbanyakkan lagi kediaman berkonsep Rent to Own (RTO) atau skim sewa beli bagi projek perumahan golongan B40, supaya mereka mampu memiliki rumah sendiri.

Ketua Menteri Datuk Ab Rauf Yusoh berkata menerusi skim RTO di bawah pelarasan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) itu, sehingga kini terdapat 1,150 rumah mengguna pakai konsep tersebut, membabitkan 1,100 rumah menerusi program Perumahan Rakyat (PPR) di Tehel dan Krubong, serta 50 rumah Sejahtera di Lipat Kajang.

"LPM akan mengenal pasti pemohon yang benar-benar layak untuk menerima keistimewaan tersebut dan melalui konsep RTO ini, semua pemohon layak untuk memiliki rumah berkenaan dengan setiap penerima perlu menjelaskan bayaran sewaan secara bulanan, pada kadar RM200 hingga RM300 tertakluk kepada harga rumah.

"Skim RTO ini juga dilaksanakan sebagai suatu bentuk kawalan terhadap pemilikan hartanah, agar penerima yang telah memilik rumah tersebut tidak menyalahguna dan menidakkan hak bagi golongan yang benar-benar memerlukan rumah, kerana tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berterusan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Sejahtera Lipat Kajang, Merlimau dan turut dihadiri Exco Kemajuan Desa Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Dalam pada itu Ab Rauf berkata projek Rumah Sejahtera yang mula dibangunkan pada 2017 itu, berjaya disiapkan selepas melantik kontraktor baharu selain memperolehi sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) pada 15 Mei lalu, selepas kontraktor asal gagal menyiapkannya kerana menghadapi masalah dalaman.

Sementara itu beliau turut mengucapkan tahniah sempena sambutan ulang tahun ke-56 Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), pada tahun ini.

"Selamat menyambut ulang tahun, semoga terus menjadi sumber berita rasmi yang telah menjadi rujukan untuk rakyat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 5:11 PM