Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menunggu siasatan berhubung kes murid perempuan didakwa ditampar oleh guru besar di daerah ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, KPM juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak berkuasa untuk siasatan kes berkenaan.

"Tindakan akan diambil selepas siasatan (selesai) dan saya suka ingatkan negara ini ada 'hukum' jadi proses mesti berlaku siasatan, laporan dan kemudian tindakan sewajarnya juga dalam tindakan pihak berkuasa," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Sambutan Hari Raya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Zamri Abdul Aziz.

Fadhlina berkata, tindakan akan diambil oleh pihak kementerian selepas prosedur siasatan kes selesai.

"Saya ambil maklum berkenaan kes itu. Kita sedang tunggu siasatan dan laporan," katanya.

Beliau berkata demikian mengenai laporan seorang ibu, 31, yang mendakwa anaknya, 11, trauma untuk ke sekolah selepas ditampar guru besar di hadapan murid lain di dalam dewan sekolah, Mac lalu.

Berikutan kejadian itu, kanak-kanak terbabit takut untuk ke sekolah sehingga hari ini dan sering memberi alasan untuk tidak hadir ke sekolah.

FADHLINA di Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Sambutan Hari Raya. FOTO Hidayatidayu Razali
FADHLINA di Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Sambutan Hari Raya. FOTO Hidayatidayu Razali

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 3:41 PM