Dr Aiza Nur Izdihar Zainal Abidin (kiri) dan Dr Ainul Khamisah Shafian (kanan) berkongsi kisah kejayaan masing-masing selepas selesai hari pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-96, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam. FOTO RUWAIDA MD ZAINĀ 
Dr Aiza Nur Izdihar Zainal Abidin (kiri) dan Dr Ainul Khamisah Shafian (kanan) berkongsi kisah kejayaan masing-masing selepas selesai hari pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-96, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam. FOTO RUWAIDA MD ZAINĀ 
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19, dua pakar perubatan bukan hanya bertindak sebagai pasukan barisan hadapan sebaliknya perlu menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar, isteri dan ibu kepada keluarga masing-masing.

Pakar Perubatan Psikiatri yang kini berkhidmat di Hospital Taiping, Perak, Dr Ainul Khamisah Shafian, 37, bersyukur di atas usaha selama empat tahun di Universiti Teknologi MARA (UiTM), akhirnya beliau dianugerahkan Sarjana Perubatan Psikiatri.

Baginya, kejayaan hari ini, bukan suatu perkara mudah namun sokongan keluarga, penyelia juga rakan menjadi kekuatan baginya yang hampir putus asa selama empat tahun melanjutkan pelajaran.

"Pada tahun kedua, saya mengandung, selepas tiga bulan bersalin suami ditukarkan ke negeri lain dan.. kemudian negara berdepan dengan Covid-19.

"Ketika itu saya bertugas di Hospital Kuala Lumpur, saya perlu membahagikan antara keluarga, kerjaya, pelajaran. Saya juga bertugas di wad pesakit Covid-19 dua bulan sebelum peperiksaan akhir.

"Hampir dua kali hendak berhenti belajar, hampir putus asa tetapi sokongan mereka sekeliling menguatkan saya terutama penyelia saya," katanya.

Beliau ditemui selepas selesai hari pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-96, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam, di sini hari ini.

Dr Ainul antara 31 graduan yang dianugerahkan Ijazah Sarjana oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin selaku Pro-Canselor UiTM.

Katanya, minat mendalami pengajian berkaitan kesihatan mental menyebabkan beliau mahu menyambung di peringkat sarjana.

"Kejayaan ini juga saya tujukan buat pesakit yang saya rawat.. walaupun saya merawat mereka tapi mereka yang lebih banyak mengajar saya," katanya.

Seorang lagi penerima, Dr Aiza Nur Izdihar Zainal Abidin, 37, berkata, kejayaan itu bukan sekadar memiliki sarjana tetapi mahu terus berkhidmat kepada masyarakat dalam menjaga kesihatan umum dan komuniti.

Ibu kepada empat cahaya mata yang berumur dua tahun hingga 12 tahun itu adalah seorang pensyarah juga Pakar Perubatan Keluarga Pusat Kesihatan UiTM.

"Alhamdulillah hari ini saya menerima Sarjana Kepakaran Perubatan Keluarga dan seperti kita tahu, apabila seseorang itu membuat keputusan untuk menyambung pengajian, memang tidak akan lepas dari pelbagai. cabaran.

"Sepanjang melanjutkan pelajaran, setiap kami berdepan dengan pelbagai cabaran berbeza yang sendiri mengandung pada tahun akhir, hari ke enam pantang dijangkiti Covid-19 namun pengajian diteruskan seperti biasa.

"Niat saya untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat sebab pakar perubatan keluarga ini paling dekat dengan komuniti. Saya juga pensyarah, saya juga mengajar pelajar yang akan menyambung pelajaran dalam bidang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 3:11 PM