Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberi tumpuan kepada masalah air yang berlaku di sekolah di Kelantan, sekolah daif dan sekolah Orang Asli di pedalaman Gua Musang.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berharap peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi pembekalan air bersih di Kelantan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, sebahagian besarnya diberi kepada sekolah bermasalah air.

"Alhamdulillah kalau pengumuman (RM1 bilion) itu dibuat. Ianya akan diselaraskan dan saya ingat Kelantan tidak terpinggir daripada mendapat manfaat.

"Pastinya sekolah ini (masalah air) kita akan memberi tumpuan daripada peruntukan itu.

"Saya fikir kita wajar bagi tumpuan kepada keperluan asas ini (air) untuk memastikan anak-anak kita mendapat bekalan air yang mencukupi dalam keadaan cuaca yang panas ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Sambutan Hari Raya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Zamri Abdul Aziz.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi pembekalan air bersih di Kelantan bermula tahun ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, garis panduan mengenai peruntukan itu akan diuruskan.

Menurutnya, pada masa yang sama, KPM juga akan memberi tumpuan kepada 17 sekolah daif di negeri ini untuk dibaik pulih.

"Berkaitan sekolah daif kita ada 17 buah dan sembilan daripada sudah diluluskan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk penambahbaikan dan lima sedang dalam proses permohonan serta tiga di peringkat dokumen.

"Sekolah ini dikenal pasti berada dalam skala enam dan tujuh. Jadi ia sudah dalam tindakan KPM dan JPN," katanya.

Fadhlina berkata, bagi sekolah murid Orang Asli di Gua Musang, pihaknya sudah ada usaha untuk memastikan mereka hadir ke sekolah apabila guru-guru dihantar ke perkampungan dan dalam komuniti supaya mereka mendapat pendidikan sempurna.

FADHLINA pada sidang media selepas Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Sambutan Hari Raya di sini, hari ini. FOTO Hidayatidayu Razali.
FADHLINA pada sidang media selepas Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Sambutan Hari Raya di sini, hari ini. FOTO Hidayatidayu Razali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 3:06 PM