LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Warga emas yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu selepas keluar dari rumah di Kampung Datuk Keramat, di sini, sudah ditemui dalam keadaan selamat, hari ini.

Mohd Salihudin Lailan, 73, ditemui dalam keadaan selamat di perhentian bas di sebuah sekolah menengah di Setapak pada 1.24 tengah hari.

Anaknya, Nor Habibah, 38, berkata, bapa ditemui adiknya yang mencari warga emas itu di sekitar kawasan berkenaan.

"Kebetulan adik mencari di kawasan itu dan melihat abah di perhentian bas. Alhamdulillah abah sihat dan tiada kecederaan fizikal.

"Kami juga akan membawa abah ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Kami sekeluarga sangat lega dan bersyukur abah sudah ditemui serta berterima kasih kepada semua yang membantu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan penemuan warga emas berkenaan.

Harian Metro hari ini melaporkan lelaki warga emas itu keluar dari rumahnya pada 16 Mei lalu dengan berjalan kaki.

Kehilangan Mohd Salahuddin disedari isteri pada 9 pagi sebelum mereka sekeluarga berusaha mencarinya di lokasi yang sering dikunjungi sebelum membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 4:04 PM