GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dengan kehadiran haiwan liar yang mencari tempat berteduh susulan cuaca panas terik di seluruh negara ketika ini.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, sebanyak 27,903 kes berkaitan menangkap ular dilaporkan di seluruh negara bermula Januari sehingga April.

"Orang ramai dinasihatkan supaya waspada kerana cuaca panas mendorong haiwan ini keluar dari habitat asal mereka dan keluar mencari tempat sejuk untuk berteduh.

"Terdapat ular yang berbisa dan tidak berbisa. Patukan ular berbisa boleh menyebabkan maut dalam tempoh lima minit jika tidak menerima rawatan," katanya.

Menurutnya, tahun lalu APM menerima sebanyak 91,157 kes tangkapan ular, dan 31,112 kes mengalih sarang serangga.

APM berkata, selain ular orang ramai perlu berwaspada dengan haiwan seperti tebuan, kala jengking, kelawar, biawak dan lipan.

"Pastikan lubang dan ruang di bawah pintu ditutup, memasak jaring di ruangan udara, dan tingkap.

"Sentiasa pastikan kemas rumah dan pastikan buang longgokan sampah yang tidak digunakan lagi serta pastikan mengetuk kasut sebelum dipakai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 4:36 PM