Redzuan Muharam

Petaling Jaya: Sebanyak 12 syarikat konsesi bersetuju melaksanakan sistem pembayaran terbuka menggunakan kad debit dan kredit yang dijangka berkuat kuasa sepenuhnya September depan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, syarikat lain belum menyatakan persetujuan dan kerajaan berharap ada lagi (syarikat) yang tampil menyokong inisiatif baharu itu nanti.

Menurut Nanta, proses percubaan akan dilakukan pada Julai depan dan kerajaan akan meneliti semua aspek dalam memastikan tidak timbul masalah kepada pengguna selepas pelaksanaan sistem berkenaan.

"Kita melihat semua aspek kerana nak pastikan dan imbangkan risiko, sebab itu perbincangan ambil masa.

"Ia bagi memastikan kesemua isu dan masalah tak akan berlaku. Ia tak boleh dibuat dengan tergesa-gesa," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Pemantauan Trafik Persada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di sini, hari ini.

Alexander Nanta Linggi bersama Timbalannya, Datuk Abdul Rahman Mohamad diiringi Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar (tengah) ketika melawat ke Pusat Pemantauan Trafik (TMC) di Persada PLUS, Subang Jaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Alexander Nanta Linggi bersama Timbalannya, Datuk Abdul Rahman Mohamad diiringi Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar (tengah) ketika melawat ke Pusat Pemantauan Trafik (TMC) di Persada PLUS, Subang Jaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Terdahulu, Nanta dalam satu kenyataan memaklumkan sistem pembayaran terbuka menggunakan kad kredit dan debit hanya membabitkan lima lebuh raya di seluruh negara terlebih dulu.

Ia bertujuan memastikan sistem itu dapat berfungsi dengan baik sebelum diperluaskan ke lebuh raya lain.

Lebuh raya terbabit adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

Usaha melaksanakan sistem bayaran tol terbuka itu dilakukan pasukan Kementerian Kerja Raya (KKR) daripada Bahagian Pembangunan dan Penswastaan (BPP) sejak tahun lalu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 6:03 PM