GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan lelaki warga tempatan dipercayai menghina agama menerusi klip video yang tersebar di media sosial.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan di Wangsa Maju semalam.

"Polis merampas dua telefon pintar dan tiga sim kad milik suspek. Dalam klip video berkenaan memaparkan lelaki terbabit mempersenda ucapan salam.

"Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek dibenarkan reman selama empat hari sehingga 13 Mei ini bagi membantu siasatan.

"Sejak task force 3R (bangsa, agama dan raja) ditubuhkan pada 22 Mac, sebanyak 18 kertas siasatan dibuka dan seramai 12 individu ditahan.

"Siasatan dijalankan dibawa peruntukan undang undang berikut ; Seksyen 4(1) Akta Hasitan 1948; Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 5:57 PM